Saturday, 21 August 2010

KERANA UMAIRAH 4

Mataku tidak lepas memerhatikan seorang anak kecil yang berlari terkedek-kedek di pesisir pantai. Wajahnya terlalu mirip dengan Mira, sesiapa sahaja yang melihat pasti boleh meneka mereka anak beranak. Aku merajuk dengan Farizal sehingga lari jauh ke Kuching. Balik kampung setahun sekali, itu pun semasa hari raya. Pija? Sekali pun dia tidak pernah ke sini menjejaki kami. 5 tahun menjadi isterinya, tiada cinta yang disemai malah perasaan kami kosong. Tidak pernah aku mengharapkan cinta darinya, cukuplah dia menyanyangi puteri tunggalnya. Sebak apabila sampai sekarang Farizal menganggap seolah-olah Umairah pernah tidak wujud.

“Umi, jangan laju sangat, nak. Meh sini. Balik jom.” Aku melambai memanggilnya pulang. Perangainya yang sukakan pantai diwarisi dari Mira. Arwah terlalu menyenangi air. Pantang jumpa air, memang lama berendam.

“Alah ibu…kejap lagi la. Umi nak tengok abang tu main layang-layang.” Dia menunjuk ke arah layang-layang yang sedang diterbangkan oleh seorang remaja lelaki. Sepenuh hati dia berlari menarik layang-layangnya. Tergambar kepuasan setelah usaha menerbangkan layang-layangnya berhasil.

“Kalau nak tengok sangat, dok diam-diam kat sini dengan ibu. Jangan berlari ke sana ke mari. Ibu takut jatuh dalam air tu nanti.” Bimbang andai dia terjelepok ke dalam pantai dan tubuh kecilnya dibawa pergi oleh arus petang yang kelihatan semakin mengganas. Senja-senja hampir maghrib begini memungkinkan pelbagai kejadian buruk.

Dia tersengih menghampiriku. Setelah jam menunjukkan pukul 5 petang, kami menghayunkan langkah untuk pulang.

Seperti biasa, slot selepas Maghrib diisi dengan bacaan Manzil dan ayat-ayat Quran sementara menanti Isyak. Umairah sudah kuyu matanya. Penat seharian bermain, biasalah budak-budak. Sebelum tidur, aku mengulitnya dengan membaca Surah 4Qul, ayat Qursi dan doa tidur berserta selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w yang sudi mengajar erti hidup beragama kepada umatnya.

“Ibu…” panggil Umairah lembut. “Ermmm…” aku menjawab malas. Mata sudah dipejam. Tangan erat memeluk tubuh kecil anakku ini.

“Kenapa baba tak duduk sekali dengan kita, bu?”. Malam ini si kecil menyesakkan dadaku dengan pertanyaan sebegini. Terus terasa segar mata yang diulit kantuk.

“Kenapa Umi tanya macam tu? Tak pernah-pernah anak ibu ni bersungut. Mengingau ekh?” aku cuba berlucu menutup debar di dada. Apa harus dijawab nanti?

“Umi tengok semua orang ada ayah. Duduk sekali. Kenapa Umi tak de ayah?” mulut comel itu terus mengajukan persoalan.

“Umi…sape kata Umi tak de ayah ni? Baba tu kan ayah Umi?” aku menerangkan.

“Habis tu, kenapa dia tak duduk dengan kita?” masih tidak puas hati rupanya dia.

“Baba sibuk. Dia kerja kat sana. Umi rindu dengan baba ekh? Nanti kita balik jumpa baba, yeh” aku cuba memujuk.

“Tak nak. Baba tak sayang Umi. Sebab tu baba tak duduk sini. Baba jahat, dia tak sayang Umi.” Itu pula yang diluahkan.

“Umi…tak baik cakap macam tu, nak. Baba sayangkan Umi. Tapi dia tak boleh duduk dengan kita, nanti bos dia marah. Umi tak sayang baba? Suka tengok baba kena marah?” aku cuba menjerat Umairah untuk mengetahui perasaannya.

“Umi sayang baba. Umi tak nak baba kena marah dengan sesape. Tapi…baba tak pernah main dengan Umi. Dia diam je, tak nak cakap dengan Umi. Dia tak pernah layan Umi. Umi sedih, bu.” Menangis.

Kepala Umairah kucium lembut. Belakangnya kugosok lembut. Cuba memujuknya agar tidur. Betapa dia merasakan kehilangan seorang ayah. Maafkan aku Mira. Aku telah memisahkan mereka anak beranak. Sumpah, aku lakukan semua ini kerana aku sendiri tidak tahan melihat layanan Pija terhadap Umairah. Aku cuba memberi dia masa untuk menerima Umairah. Tapi semuanya sia-sia. 5 tahun bukan tempoh masa yang pendek, tak cukup lagikah? Aku sudah berputus asa dengan Farizal.

Entah kenapa aku rasa begitu berdebar-debar. Tidak pernah aku berasa begitu gemuruh untuk bertemu Farizal. Lelaki sombong perasan bagus yang aku menyampah selama ini. Mungkin kerana menantikan reaksi Pija menerima kedatangan kami. Marahkah? Atau gembira? Yang pasti, dia mesti akan terkejut! Tapi kenapa lain benar rasanya kepulangan kali ini? Adakah kerana aku pulang tanpa izin Farizal? Aku membuat keputusan sendiri. Ada baiknya juga aku pulang awal. Aku ingin melihat wajah Pija. Reaksinya nanti bagaimana? Entah!

1 comment: