Friday, 5 February 2010

DARI TEMAN KEPADA KEKASIH 1

Aku pulang lagi ke sini, tempat asal usulku. Aku ingin mengutip segala kenangan bersamanya. Aku ingin mengumpulnya, agar aku terus bersemangat melalui hari-hari sepiku. Namun, aku sudah cukup bertuah sebenarnya kerana sebahagian dari dirinya ada bersamaku. Sentiasa menemaniku walau ke mana saja. Dan aku terus terlupa bahawa aku telah melakukan kesilapan terbesar dalam hidupku. Aku ingin menebusnya kembali tetapi aku tidak tahu bagaimana caranya. Apakah aku masih di hatinya? Adakah orang-orang kesayanganku masih mengingatiku sebagaimana aku yang sering merindui mereka? Rejab ini hatiku terlalu ingin menemui mereka. Kuturutkan kata hatiku, dan akhirnya aku berada di bumi bertuah ini.

“Ibu…Adam nak mandi, bu. Boleh kan?” , lamunanku mati mendengar suara anakku yang teruja untuk mandi sungai. Aku berpaling ke arahnya yang sudah berada di gigi air.

“Mari sini kejap. Kalau nak mandi, kena tanggal baju dulu. Takkan nak mandi dengan kasut semua?” . Sambil tergelak aku merapatinya.

“Jangan berenang jauh-jauh tau. Main dekat-dekat ni je, senang ibu nak tengok.”

Dia bersorak riang sambil berlalu, senang hati apabila keinginannya aku turuti. Adam sudah besar. Sudah pandai bertanya siapa ayahnya, di mana ayahnya, kenapa dia tiada ayah seperti orang lain? Semua pertanyaan itu cukup menyesakkan dadaku, tapi aku akan sengaja menukar tajuk perbualan apabila tajuk tidak selamat itu yang menjadi pilihannya untuk berbicara. Aku tidak berupaya menceritakan perkara sebenar kepadanya, kerana akulah yang bersalah. Di satu sudut lain, aku tidak ingin menipunya. Tapi sampai bila? Dia semakin membesar. Malah, dia sering bertanya tentang ayahnya kebelakangan ini.

“Ibu…Adam tak nak kawan dengan dengan diorang lagi. Diorang kata Adam tak ada ayah. Adam ada ayah kan, bu? Diorang jahat, tak nak kawan lagi.” , aku merenungnya. Aku meraih dia ke dalam pelukanku.

Sambil mengusap mesra rambutnya, aku cuba menenangkannya. “Adam ada ayah, tapi ayah Adam tak ada kat sini. Dia duduk jauh. Nanti bila balik kampung, ibu bawa Adam jumpa ayah, ya?” . Adam mengangguk sambil mendongak memandangku. Matanya bersinar kembali.

“Adam jangan gaduh gan diorang lagi, ya! Nanti kalau Adam tak nak kawan dengan diorang, Adam nak main gan siapa lagi?” . Dia mengangguk lagi.

Kesian anakku, dia disisihkan hanya kerana dia tidak mempunyai ayah seperti orang lain. Aku yang membawanya ke dunia ini, aku jugalah yang menjadikan dia dihina. Aku meneruskan pengajian Masterku di London ketika mengandungkannya. Hanya aku seorang sahaja yang mempunyai anak tanpa bapa. Orang lain semuanya hidup berpasangan. 5 tahun di rantau, aku mengambil keputusan untuk kembali ke tanah air. Kebetulan aku mendapat tawaran kerja di sebuah bank. Sesuai dengan bidangku, Islamic banking. Aku melepaskan keluhan untuk ke sekian kalinya. Aku memandang jam tanganku yang sudah menunjukkan pukul 5 petang.

“Adam, dah la tu. Nanti kita datang lagi. Dah petang sangat ni. Jom balik!” .

“Alah, bu. Adam belum puas lagi. Kejap lagi la, bu.” , sedikit masam wajah polos itu.

“Kita balik dulu. Adam tak nak jumpa nenek, atuk? Esok kita datang lagi. Kita mandi ramai-ramai, lagi best. Kalau ada walid, kita ajak walid sekali.” . Adam tersengih. Aku pasti jerat yang dipasang sudah mengena. Anak sebaik Adam bukan susah untuk dipujuk, dia sangat mendengar kata.

Aku mengelap badannya dan memakaikan semula pakaiannya. Lantas aku mengemas tikar masuk ke dalam kereta. Kawasan kampung yang telah berubah sedikit mengelirukanku. Jalan yang aku lalui sedikit asing di pandanganku. Ya, sudah tentu banyak yang telah berubah, maklumlah sudah 5 tahun aku meninggalkan kampung halaman. ‘Tawakkal ajelah. Mudah-mudahan aku selamat sampai’, doaku di dalam hati.

No comments:

Post a Comment