Friday, 25 January 2013

DIKIR BARAT



Dikir…sejenis hiburan yang terkenal di Kelantan. Antara lain, hiburan yang menjadi darah daging budaya masyarakat Kelantan ialah Mak Yong, Menora, Main Puteri dan Wayang Kulit. Di samping itu, di Kelantan juga terkenal dengan Silat, Gasing dan Wau Bulan. Dikir menjadi budaya yang paling dominan dan sinonim dengan Kelantan. Sifatnya yang begitu fleksibel membuatkan ianya sentiasa teguh menongkah arus perkembangan semasa. Walau sebanyak mana jenis hiburan yang muncul, dikir tetap tidak dilupakan.
Ramai yang bertanya kenapa ia dipanggil Dikir Barat, sedangkan Kelantan ialah sebuah Negeri Pantai Timur? Sebenarnya, Kelantan terbahagi kepada 2 sebelum Selatan Thailand terutamanya Pattani menjadi milik kerajaan Thailand. Kelantan Barat ialah Pattani dan Selatan Thailand. Orang-orang tua merujuk Barat sebagai Selatan Thailand. Namun, bagi generasi muda sekarang, kami mengenali Selatan Thailand dengan nama Aliek Sie (Sebelah Siam).
Semenjak sekolah rendah lagi kami rakyat Kelantan sudah didedahkan dengan budaya ini. Murid-murid lelaki terutamanya mula diajar tentang dikir. Mereka akan diasuh menjadi Tok Jogho (Juara), Tukang Karut, awak-awak, pemain gendang ibu, gong, kerincing, canai, rebana ubi dan cerana. Kadang-kadang serunai digunakan untuk mengiringi persembahan Dikir Barat, namun pemain Serunai tidak begitu meluas. Hanya terdapat beberapa orang tua sahaja yang mampu bermain serunai dengan baik.
Dikir Barat telah diangkat dan diiktiraf sebagai sejenis seni yang menjadi warisan Melayu dengan adanya Pertandingan Dikir Barat Peringkat Kebangsaan. Malah, anak-anak Kelantan yang merantau ke serata Malaysia juga turut membawa bersama budaya seni warisan nenek moyang ini. Ianya menjadi semakin diminati semenjak adanya album Dikir Warrior yang memberi semangat kepada pemain-pemain Bola Sepak Kelantan.



http://www.youtube.com/watch?v=y2gbtnyMNRM

No comments:

Post a Comment