Dikir…sejenis hiburan yang terkenal di
Kelantan. Antara lain, hiburan yang menjadi darah daging budaya masyarakat
Kelantan ialah Mak Yong, Menora, Main Puteri dan Wayang Kulit. Di samping itu,
di Kelantan juga terkenal dengan Silat, Gasing dan Wau Bulan. Dikir menjadi
budaya yang paling dominan dan sinonim dengan Kelantan. Sifatnya yang begitu
fleksibel membuatkan ianya sentiasa teguh menongkah arus perkembangan semasa. Walau
sebanyak mana jenis hiburan yang muncul, dikir tetap tidak dilupakan.
Ramai yang bertanya kenapa ia dipanggil
Dikir Barat, sedangkan Kelantan ialah sebuah Negeri Pantai Timur? Sebenarnya,
Kelantan terbahagi kepada 2 sebelum Selatan Thailand terutamanya Pattani menjadi
milik kerajaan Thailand. Kelantan Barat ialah Pattani dan Selatan Thailand. Orang-orang
tua merujuk Barat sebagai Selatan Thailand. Namun, bagi generasi muda sekarang,
kami mengenali Selatan Thailand dengan nama Aliek Sie (Sebelah Siam).
Semenjak sekolah rendah lagi kami rakyat
Kelantan sudah didedahkan dengan budaya ini. Murid-murid lelaki terutamanya
mula diajar tentang dikir. Mereka akan diasuh menjadi Tok Jogho (Juara), Tukang
Karut, awak-awak, pemain gendang ibu, gong, kerincing, canai, rebana ubi dan
cerana. Kadang-kadang serunai digunakan untuk mengiringi persembahan Dikir
Barat, namun pemain Serunai tidak begitu meluas. Hanya terdapat beberapa orang
tua sahaja yang mampu bermain serunai dengan baik.
Dikir Barat telah diangkat dan diiktiraf
sebagai sejenis seni yang menjadi warisan Melayu dengan adanya Pertandingan
Dikir Barat Peringkat Kebangsaan. Malah, anak-anak Kelantan yang merantau ke
serata Malaysia juga turut membawa bersama budaya seni warisan nenek moyang
ini. Ianya menjadi semakin diminati semenjak adanya album Dikir Warrior yang
memberi semangat kepada pemain-pemain Bola Sepak Kelantan.