Friday, 17 December 2010

SHARE BLOG FAIZAL TEHRANI....Recep Tayyip Erdogan Kini Berfahaman Syiah?


* Artikel ini tersiar di tabloid Kabar edisi 16 Disember 2010. Dilarang menerbit kembali. Hak cipta terpelihara. Anda bagaimanapun dibenarkan memaut entri ini ke laman atau blog anda.

OLEH DR FAISAL TEHRANI

BEBERAPA hari lepas, bekas pelajar ketika saya mengajar di Istanbul menghubungi menerusi skype. Berita paling hangat di Turki mutakhir ini ialah, apakah kemungkinan Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang juga kepala parti paling berpengaruh di negara tersebut iaitu Parti AK, telah pun menganut fahaman syiah Imamiyyah.

Khabar ini meski belum disahkan telah bertiup kencang, sejak tokoh masyarakat bermazhab Jafari atau syiah di Turki, Selahattin Ozgunduz mengumumkan dalam khutbah Jumaatnya pada 3 Disember lalu bahawa Recep Tayyip Erdogan, bersama-sama sejumlah ahli parlimen dari parti AK dan menteri kabinet akan menyertai majlis Asyura pada 16 Disember 2010 ini di Meydan Ashura, Halkalı. Hal ini tidaklah mengejutkan, kerana pada tahun lalu ketua parti pembangkang di Turki menerusi parti CHP, iaitu Deniz Baykal, bersama-sama bekas menteri kebudayaan Namık Kemal Zeybek, Datuk Bandar Turki dari parti AK, Abdul Kadir Topbaş, dan Datuk Bandar Şişli, Mustafa Sarıgül, termasuklah Mufti Istanbul, Mustafa Çağırıcı, telah pun menghadiri majlis asyura yang sama. Erdogan yang tidak dapat menghadiri majlis asyura ketika itu bagaimanapun mengutus sepucuk surat yang dinamakan “Surat Muharram 10”.

Antara isi kandungan surat tersebut menekankan kepedihan dan kedukaan kaum muslimin atas kesyahidan Saidina Husin. Erdoğan menegaskan mesej besar dari sambutan Asyura adalah untuk membolehkan seluruh umat Islam memahami bahawa tragedi Karbala, menjadi lambang pengorbanan, keadilan dan kebenaran menentang tirani, despotisme and pengkhianatan. Erdogan menegaskan supaya umat Islam bersatu dan berazam untuk memahami satu sama lain. Maka kekuatan sesama sendiri dapat dijadikan asas untuk berdepan dengan musuh. Erdogan menamatkan surat beliau dengan ayat, “Peristiwa 10 Muharram adalah rujukan kita dalam memperjuangkan keadilan dan kebenaran.”

Majlis asyura masyarakat syiah Turki mendapat perhatian besar sejak beberapa tahun lalu memandangkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu UNESCO mengiktirafnya sebagai ‘majlis Asyura contoh yang unik’.


Sejak parti AK berkuasa, masyarakat syiah di Turki menikmati ‘kebebasan yang lebih’. Tanggapan selama ini bahawa penduduk Turki adalah 99 peratus sunni adalah salah. Sebahagian besar Turki hari ini merupakan wilayah Parsi yang dirampas ketika era Othmaniyyah. Jika kita ke Anatolia, terdapat sisa-sisa masyarakat syiah misalnya di Bektash. Masyarakat syiah di Turki berjumlah kira-kira 15 ke 20 juta orang dan sering disalahertikan (seperti di Malaysia) sebagai masyarakat sesat dan dilabelkan sebagai Alawi (kumpulan yang menuhankan Imam Ali).


Seperti yang umum ketahui perlembagaan sekular Turki melarang wanita berhijab dari menyertai kerajaan, mendapat pekerjaan sebagai penjawat awam, dan wanita yang bertudung juga dilarang masuk universiti atau ke sekolah. Masyarat sunni Hanafi di Turki kebanyakannya selama ini tunduk kepada undang-undang tersebut (menurut mereka ia dilakukan sebagai maslahah) dan sesetengah muslimah sanggup menanggalkan kerudung demi untuk melangkah masuk ke menara gading. Akan tetapi masyarakat syiah di Turki bertegas untuk tidak bertolak ansur dalam hal tersebut. Wanita syiah Turki memilih untuk tidak ke universiti, tidak mencampuri urusan politik dan memilih menjadi masyarakat underground yang senyap (dua foto wanita syiah Turki). Ekoran dari itu komuniti syiah sedikit ketinggalan. Apabila parti AK muncul di bawah Erdogan, terdapat tanda-tanda Erdogan seorang yang moderat dan boleh bertolak ansur dengan syiah. 20 juta masyarakat syiah Turki inilah yang membolehkan Erdogan berkuasa di Turki. Mereka mengundi AK parti secara penuh.

Pun setelah Erdogan memerintah, masyarakat syiah Turki kurang mahu terlibat dan menonjol diri. Ini kerana Erdogan masih dikaitkan dengan imej lembut terhadap barat. Pendirian parti AK untuk menyertai Kesatuan Eropah dan hubungan baik Erdogan dengan Presiden Bush menimbulkan rasa jengkel. Tambahan pula bukanlah rahsia, Erdogan adalah anak didik Fethullah Gulen (Gerakan Gulen) seorang tokoh Islam yang kini bermukim di Texas, Amerika Syarikat. Stail Gulen diketahui sangat selesa, iaitu menyentuh Islam pada hal-hal permukaan, membincangkan sirah nabi Muhammad secara terpilih dan menekankan dialog dengan Barat.

Namun hari ini, masyarakat syiah Turki semakin gigih keluar dari kepompong mereka. Terdapat tiga sebab besar mengapa ini berlaku.

Pertama, Erdogan sudah mula menjauhi Fethullah Gulen. Hal ini dapat dilihat menerusi insiden berdarah 31 Mei 2010 di atas feri Mavi Marmara. Gulen hoca adalah antara orang yang menentang hebat tindakan menghantar feri tersebut ke Gaza, dan Gulen menyalahkan kerajaan Erdogan sebagai bertanggungjawab terhadap tragedi yang menyebabkan sejumlah aktivis keamanan berbangsa Turki terbunuh. Erdogan tidak mengendahkan sama sekali kritikan guru spiritualnya, Fethullah Gulen. Malah jauh sebelum itu, jika kita masih ingat, pada Januari 2009, Erdogan telah menyerang Presiden Israel, Shimon Peres dalam satu forum di Davos. Kata Erdogan, “Bila tiba bab membunuh, kau memang tahu bagaimana cara berkesan untuk membunuh.” Beliau kemudian bangun lalu mengatakan, “Dan dengan itu juga Davos berakhir untuk saya.” Peristiwa bersejarah itu berlaku ekoran David Ignatius, moderator forum tersebut memberi banyak masa untuk Peres mempertahankan tindakannya mengganyang Gaza pada hujung 2008 dan awal 2009. Erdogan yang naik berang mengatakan, “Aku hanya dibenarkan bercakap sekejap, tetapi tukang semeblih ini kau benarkan bercakap membela kejahatannya.”

Sekembalinya Erdogan ke Istanbul, beliau diberi sambutan hangat sebagai wira. Dr Ahmadinejad kemudian menghubungi Erdogan untuk mengucap tahniah dan menjemput Erdogan ke Tehran untuk bertemu pemimpin agung Iran Ayatullah Ali Khamenei selain menerima pingat keamanan tertinggi dari kerajaan Iran.

Kedua, antara sebab mengapa masyarakat syiah Turki semakin mengukuh ialah kerana pengaruh Iran yang semakin kuat di rantau Timur Tengah. Ini termasuklah dalam isu hak pembangunan nuklear Iran. Tenaga dan semangat Ahmadinejad, berserta kemenangan Hezbullah ke atas Israel dalam perang musim panas 2006 menjadikan masyarakat syiah di Turki semakin berani menzahirkan diri. Untuk mengimbangi pengaruh Iran, tidak dapat tidak, Turki di bawah Erdogan harus samada, menyaingi Iran atau menjadikan Iran sebagai kawan. Erdogan bertindak bijak dengan memilih jalan untuk menjadikan Iran sebagai kawan. Bukankah kedua-duanya sama muslim dan mewakili tamadun umat Islam yang besar dan bersejarah? Hal ini paling ketara apabila melihat Erdogan menjadi jurucakap Iran dalam mempertahankan hak republik tersebut membangunkan kuasa nuklearnya. Meski ditekan Amerika, Erdogan nampaknya berkeras bahawa Iran layak membangunkan teknologi nuklear tersebut. Malah 16 Mei 2010 lalu, dengan inisiatif Erdogan, termeterai perjanjian ‘nuclear fuel swap deal’ antara Iran, Turki dan Brazil. Tayyip Erdogan turut terbang ke Tehran menyertai Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dalam ‘menyelamatkan program nuklear Iran’ dari terus-terusan mengalami stand-off dengan kuasa Barat.

Hal ketiga yang menyebabkan masyarakat syiah Turki bangkit menunjukkan diri mereka selama ini ialah kerana pemimpin agung Iran, Ayatullah Ali Khamenei adalah dari etnik yang sama dengan bangsa Turki. Hakikat bahawa terdapat satu bonding yang kuat antara syiah di Turki dengan Ayatullah Ali Khamenei membolehkan mereka tidak lagi berasa rendah diri dan berasa perlu untuk melibatkan diri dalam masyarakat. Ketika siri lawatan Ahmadinejad ke Istanbul adalah jelas sambutan hangat diberikan kepada beliau. Bukan itu sahaja masyarakat sunni Turki kini lebih memahami apakah dan siapakah syiah Imamiyyah. Asimilasi syiah dalam masyarakat sunni Turki menjadi lebih mudah kerana ketiadaan gerakan wahabi yang berkesan di sana. Turki diketahui memusuhi wahabi dari segi sejarah dan falsafah. Perlu difahami, hanya wahabi sahaja yang menolak, menfitnah, menindas dan melabel syiah secara ekstrim. Adalah sesuatu yang amat baik Wahabi sama sekali ditolak di Turki malah dipandang sebagai penanggungjawab runtuhnya kerajaan Turki Othmaniyyah kerana kerjasama mesra Wahabi, Bani saud dan British selepas Perang Dunia Pertama. Umat Islam sunni Turki pula memiliki kencederungan sufistik di mana tarekat Naqsyabandi dan Qadiri masih berpengaruh. Secara umumnya, gerakan kesufian dan syiah mempunyai banyak titik persamaan. Paling tidak kumpulan sufi memperakukan Imam Ali sebagai wali kutub sedang orang syiah menerima Saidina Ali sebagai imam pertama mereka sesudah kewafatan Rasulullah saw.




(Laporan akhbar-akhbar utama Turki tentang lawatan Ahmadinejad. Antara lain memuji Dr Ahmadinejad kerana bersolat di belakang imam sunni di Masjid Biru)

Terdapat banyak petunjuk bahawa Erdogan semakin mesra dengan syiah Imamiyyah. Selain dari perubahan radikal Turki terhadap Israel dan penglibatan Turki secara aktif dalam isu umat Islam seperti Palestina; kecedenderungan beliau mempertahankan Iran juga membayangkan sesuatu. Membaca gerak permainan Erdogan dan Ahmadinejad membuat kita umat Islam sedikit terhibur. Alangkah baik jika kita beroleh pemimpin yang bijak seperti mereka. Tentu, umat Islam akan beroleh manfaat yang besar dari hubungan baik Turki-Iran ini. Jika Turki mewakili kuasa sunni yang berpengaruh, persaudaraan dengan Iran sebagai kuasa syiah yang utuh pasti menggerunkan musuh Islam. Siapa lagi kalau bukan zionis Israel?